Selamat Datang Ke Laman Web Surau Al-Muhajirin Apartment Julia, Bandar Baru Selayang Fasa 2B

Friday, December 31, 2010

PEMANDANGAN DI DALAM KAABAH



Ka’bah sebagai Baitullah dan Kiblat umat islam sedunia. Merupakan tempat yg paling dicintai Allah dan Rasulnya yang setiap saat siang dan malam di kelilingi 70,000 malaikat bertawaf. Tempat berhajinya para Nabi-Nabi Allah.

Pintu Ka’bah dibuka oleh pemegang-pemegang kunci Ka’bah yang diwarisi secara turun-temurun. Terbungkus dengan kain hijau yang tertulis “Ambillah wahai Bani Thalhah. Ketetapan ini sampai hari kiamat. Tiada yg berhak menukarnya kecuali org-org yg zalim”.

Didalam terdapat tempat solat Nabi Muhammad SAW iaitu di atas batu marmar yang berukir. Dan menurut sebahagian pendapat, disekitarnya ada 3 rahsia dari Syurga iaitu :
 
1- Hajarul-Aswad
2- Maqam Ibrahim dari batu-batu Yaqut dalam syurga
3- Sumur Zam-Zam yg merupakan sungai dari sungai-sungai Surga.

Bahagian dalamnya dicuci menggunakan air zam-zam yang telah dicampur dengan air bunga dan kemudiannya dikeringkan serta disapu dengan minyak ‘oud/Gahru dan minyak kembang murni.

Dari sebelah kiri pintu Ka’bah adalah Multazam (antara pintu Ka’bah dan Hajarul Aswad). Sebelah kanan dari pintu terdapat kotak dari marmar tempat menyimpan alat keperluan kebersihan di dalam Ka’bah. Di tengah–tengah Ka’bah agak meninggi terdapat 3 buah tiang penyangga yang terbuat dari kayu dan yang dikenal dengan “Tiang Abdullah bin Zubair. Dinamakan demikian karena Allah SWT telah memberikan kemuliaan kepada beliau sebagai pembuat tiang penyangga pada atap Ka’bah itu untuk menghindari kerobohannya.

Sebelah Utara dari Ka’bah terdapat pintu kecil yang dinamakan “Pintu Taubat”. Itu adalah sebuah tanda dari keteguhan. Pintu Taubat ini terbuat dari kayu pilihan yang dilapisi dengan Emas dan Perak yang terukir dan dilapisi juga dengan kaca yang tebal sampai atap Ka’bah. Pada dinding sebelah Barat yang berhadapan dengan pintu Ka’bah digantungkan 9 Pigura yang terbuat dari Marmar dan bertuliskan nama-nama penguasa-penguasa atau Khalifah yang telah memperbaiki dan memperbaharui Ka’bah yang agung.

Kesemuanya itu tertulis setelah Abad 6H. Pada dinding Timur antara pintu Ka’bah dan pintu Taubah diletakkan keterangan tentang perbaikan yang dilakukan oleh Raja Fahd pada tahun 1419H setelah perbaikan terakhir pada zaman Sultan Murod IV dari Utmaniah pada tahun 1040H. Dinding Ka’bah yang empat dilapisi dengan Marmar putih setinggi 2 meter dan diatasnya ditutupi dengan kain warna merah dan pink yang terbuat dari bahan kain sutera yang bertuliskan “Syahadatain “ dan Asma Al-Husna hadiah dari Raja Fahd.

Diantara tiga tiang yang ditengah (Tiang Abdullah bin Zubair) ada tempat untuk meletakkan barang yang terbuat dari perak murni untuk menyimpan barang seperti teko-teko, pajangan  dan barang-barang bersejarah lainnya yang terbuat dari emas dan perak yang telah berusia puluhan bahkan ratusan tahun yang lewat sebagai hadiah-hadiah dari raja-raja, khalifah dan para sultan kepada Ka’bah sebagai pendekatan dan pengabdian kepada Rabb yang Esa untuk mencari ridho Nya.

Semoga Allah tetap menyatukan hati kita untuk mengagungkan kalimat Tauhid dan membangkitkan kembali semangat Iman dan Islam kita.

Amin Allahuma amin.
Wassalam
Cerita berpandukan dari kisah wartawan Saudi Arabia yang bernama Omar Al-Medwahy yang berpeluang masuk ke dalam Ka'bah tersebut.

Sunday, December 12, 2010

MAJLIS BERKHATAN 2010



KHATAN BERAMAI-RAMAI

Syukur Alhamdulillah,

Keadaan cuaca yang cukup baik pada 11-12-2010 (Sabtu), membolehkan program yang dirancang jawatankuasa surau Al-Muhajirin Pangsapuri Julia melaksanakan majlis khatan beramai-ramai dengan jayanya. Seramai 36 orang kanak-kanak bertuah diraikan dalam satu majlis anjuran surau Al-Muhajirin.

Keriangan jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang terlibat dalam program ini ketika berarak dengan diiringi paluan kompang dan bunga manggar serta mandi beramai-ramai dengan air pancutan yang disediakan pihak Bomba dan Syabas.
 
Kesempatan ini ingin pihak jawatankuasa surau mengucapkan jutaan terimakasih kepada Adun Taman Templer (YBhg Dato’ Subahan Kamal) yang banyak menyumbang keewangan dalam merealisasikan setiap program yang dirancang. Kesudian beliau hadir pada majlis tahlil dan doa selamat amat dihargai warga penduduk Pangsapuri Julia.

Terimakasih juga kepada semua yang membantu jawatankuasa surau dan menyumbang dari segi tenaga, idea dan keewangan bagi melancarkan lagi program yang dirancang. Semoga Allah s.w.t. merahmati anda sekelian.

Tanpa fahaman politik akhirnya dapat kita memertabatkan surau untuk kebaikan penduduk Pangsapuri Julia ini. Seruan saya marilah kita bersama mengimarahkan surau kita.

Sekian, terimakasih.

Jawatankuasa Surau Al-Muhajirin

Adun Taman Templer memberi hadiah kepada peserta-peserta berkhatan

Wednesday, December 8, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

 

PROGRAM IBADAH QURBAN AIDILADHA 1431H / 2010 M

Surau Al-Muhajirin Pangsapuri Julia, BBS Fasa 2B

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Lailahaillallahu Wallahu Akbar,
Allahu Akbar Walillahilhamd..

Alhamdulillah,

Pada hari Rabu 17-11-2010 bersamaan 10 Zulhijjah dengan kerjasama penduduk telah menghasilkan kejayaan kita melaksanakan ibadah qurban dengan jayanya. Sebanyak 3 ekor lembu dikorbankan tahun ini di surau Al-Muhajirin Pangsapuri Julia, BBS Fasa 2B di mana 2 ekor adalah sumbangan daripada Adun Templer dan seekor daripada peserta yang mengambil bahagian.

Peristiwa yang sukar dilupakan tahun ini di mana seekor lembu berjaya melarikan diri dan mencederakan seorang penduduk. Sehingga ke larut malam berusaha menangkapnya namun keesokannya ditukar dengan lembu yang lain.

Pihak jawatankuasa surau sangat menghargai kerjasama dari seluruh penduduk dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

Salam Aidil Adha..

Taqabbalallahu Minna Waminkum.



En. Muzah Awang Lah dengan lembu korban
    
Lembu ini sangat jinak dan suka pada kanak-kanak.  
Kejadian aneh berlaku sebelum detik dikorbankan di mana 
lembu ini telah memakan tanah terlebih dahulu.
Gotong-royong penduduk Pangsapuri Julia



Kaum ibu yang sibuk untuk menyediakan makanan tengahari

Memikul tugas membahagikan daging qurban

Pengerusi surau (songkok putih) bersama Adun Taman Templer
(Dato' Subahan Kamal). Bincang apa lagi tu.
Berbincang sesuatu dengan YBhg Adun Taman Templer.


Kisah Membantu Tetangga Dan Anak Yatim


Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak berhaji, tertidur di Masjidil Haram. Dia telah bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa banyak orang-orang yang berhaji pada tahun ini?"

Jawab yang lain, "Enam ratus ribu." Lalu ia bertanya lagi, "Berapa banyak yang diterima ?"

Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat berhaji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun itu diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."

Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapannya itu, maka terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke Damsyik mencari orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga ia sampailah ke rumahnya dan ketika diketuknya pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera ia bertanya namanya. Jawab orang itu, "Muwaffaq."

Lalu Abdullah bin Mubarak bertanya padanya, "Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjat yang sedemikian itu?"

Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin berhaji tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus diirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu, lalu aku berniat haji pada tahun ini sedang isteriku pula hamil, maka suatu hari dia tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pergi ke rumah jiranku dan menyampaikan tujuan sebenarku kepada wanita jiranku itu.

Jawab jiranku, "Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anak yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, kerana itu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba bertemulah aku dengan bangkai himar di suatu tempat lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk masak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk makanan kamu."

Ketika aku mendegar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan keserahkan kepada jiranku tadi seraya menyuruhnya membelanjakan wang itu untuk keperluan anak-anak yatim yang ada dalam jagaannya itu.

"Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Kata Muwaffaq lagi. Demikianlah cerita yang sangat berkesan bahawa membantu jiran tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya apalagi di dalamnya terdapat anak-anak yatim.

Rasulullah ada ditanya, "Ya Rasullah tunjukkan padaku amal perbuatan yang bila kuamalkan akan masuk syurga."

Jawab Rasulullah, "Jadilah kamu orang yang baik."

Orang itu bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimanakah akan aku ketahui bahawa aku telah berbuat baik?"

Jawab Rasulullah, "Tanyakan pada tetanggamu, maka bila mereka berkata engkau baik maka engkau benar-benar baik dan bila mereka berkata engkau jahat, maka engkau sebenarnya jahat."

Percakapan Musa a.s. dengan Tuhan



Musa A.S : Oh Tuhan, ajarilah kami sesuatu yang dapat kami pakai untuk berzikir dan berdo'a kepada Engkau.

Tuhan : Ucapkan, Laa ilaaha illallaah hai Musa.

Musa A.S : Oh Tuhan, semua hamba-Mu telah mengucapkan kalimat itu.

Tuhan : Hai Musa, andaikan langit yang tujuh berserta seluruh penghuninya selain Aku, dan bumi yang tujuh ditimbang dengan Laa Ilaaha Illallaah, nescaya masih berat Laa Ilaaha Illallaah.

Kata Hikmah : Kisah ini diambil dari hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Hibban dan Imam Al-Hakim dari Abi Sa'id Al-Khud riyyi r.a.

(1)
Nilai Laa Ilaaha Illallaah lebih hebat daripada langit, bumi & seluruh penghuninya.

(2)
Langit itu berpenghuni.

(3)Bumi itu tujuh lapis sebagaimana langit.

(4)
Seutama-utama zikir adalah Laa Ilaaha Illallaah.

7 Macam Pahala Yang Di Nikmati Selepas Mati

Dari Anas r.a. berkata bahawa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.

(1)    Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.

(2)    Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.

(3)    Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.

(4)    Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.

(5)    Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.

(6)    Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.

(7)    Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya

(8)    Yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :

(1)    Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)
(2)    Ilmu yang berguna dan diamalkan.
(3)    Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.

Kisah Langit Dan Bumi


Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain."

Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku." Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga ditempatku."

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."

Jibrail A.S. bertanya, "Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?" Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam.

Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Tuesday, December 7, 2010

Permohonan Si Miskin Dan Si Kaya


Nabi Musa AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Mereka ada yang kaya dan juga ada yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. dengan pakaiannya yang compang-camping dan sangat lusuh berdebu. Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS, "Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya.

Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, "saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT. Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, Bagaimana aku mau banyak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu lembar ini saja". Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya.

Beberapa waktu kemudian seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya. Ia berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu. Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata, "wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT. Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah SWT?. Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya", jawab si kaya itu. Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya.

Kemudian terjadi adalah si kaya itu semakin Allah SWT tambah kekayaannya karena ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Ini semua karena ia tidak mau bersyukur kepada Allah SWT.

Monday, December 6, 2010

Kisah Luqman Al-Hakim Dengan Telatah Manusia


Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."
 Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
 

Thursday, November 11, 2010

Kelebihan Umat Rasullullah Menurut Pandangan Nabi Adam


Disebutkan bahawa Nabi Adam A.S telah berkata, "Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Muhammad S.A.W EMPAT kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:

1)      Taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad S.A.W diterima disebarang tempat oleh Allah S.W.T.

2)      Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Muhammad S.A.W membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah S.W.T memberi mereka pakaian.

3)      Ketika aku telah berderhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Muhammad S.A.W berbuat derhaka, Allah S.W.T tidak memisahkan isteri mereka.

4)      Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Muhammad S.A.W durhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W.

Wednesday, November 10, 2010

Kisah Pendita Yang Insaf


Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Allah swt. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, "Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah. Pada suatu kali, tiba-tiba aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani (Pendita Kristian)."
 Bila dia melihat aku dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?" Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu."
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, "Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahawa aku telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu."

Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan berkata, "Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah Engkau memalukan aku di hadapan seteru Engkau ini."

Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
 "Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, "Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu."

Sambung Ibrahim lagi, "Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu - Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku."
 Jawab rahib itu, "Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah syahadah)."

"Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah."
 Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Hai Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu akan persahabatan dan persaudaraanku denganmu."

Sebaik sahaja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka aku berasa amat dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah."
 Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?"

Dia menjawab, "Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku) kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat."
 Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya."