Selamat Datang Ke Laman Web Surau Al-Muhajirin Apartment Julia, Bandar Baru Selayang Fasa 2B

Saturday, July 20, 2013

KISAH NABI MUSA DENGAN CHIDLIR


Menurut riwayat bahawa tatkala Nabi Musa telah menjadi khalifah di mukabumi sesudah mendapat kemenangan ke atas Mesir, maka Allah s.w.t. menyuruhnya mengingatkan kepada kaumnya akan nikmat Allah s.w.t. itu. Lalu Nabi Musa berdiri berpidato kepada mereka serata katanya: “Allah s.w.t. telah menganugerahi kita nikmat yang Maha Besar, sebab itu marilah kita berterima kasih kepadaNya. Allah s.w.t. telah memilih nabi kamu (Musa) dan telah bercakap-cakap Allah dengan dia”. Sahut mereka itu: “Kami telah ketahui tentang ini. Sekarang kami bertanya, siapakah orang se’alim-alim manusia?” Jawab Nabi Musa: “Saya”. Lalu Allah s.w.t. menempelak (menegurnya) dia kerana dia tidak mengatakan: “Allahua’lam” (Allah Lebih Tahu). Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepada Musa: “Ada seorang hamba yang lebih ‘alim daripada engkau iaitu Chidlir, engkau boleh berjumpa dengan dia dipertemuan dua laut iaitu laut Rom dan Parsi, di tepi pantainya dekat batu besar”. Berkata Musa: “Ya Rabbi, bagaimanakah jalannya supaya dapat saya berjumpa dengan dia?”


Firman Allah: “Hendaklah engkau ambil seekor ikan dan masukkanlah dalam gantang. Bila ikan itu telah hilang maka di sanalah tempat Chidlir itu”. Kemudian pergilah Nabi Musa bersama pemudanya menuju tempat itu. Setelah sampai di sana, Nabi Musa tertidur, lalu ikan itu bergerak hingga jatuh masuk laut. Kemudian keduanya meneruskan perjalanannya. Setelah esok harinya, waktu makan zohor, Nabi Musa memeriksa ikan itu tetapi tiada bersua lagi. Lalu ditanyakannya kepada pemudanya. Sahutnya: “Ikan itu telah jatuh masuk laut”. Mendengar demikian, keduanya kembali menuju batu besar itu. Di sana Nabi Musa bertemu dengan Chidlir iaitu seorang hamba Allah s.w.t. yang mendapat rahmat dan ilmu dari sisiNya.

Berkata Nabi Musa kepada Chidlir: “Bolehkah aku mengikutmu supaya engkau mengajarkan ilmu petunjuk kepadaku?”

Chidlir:
Engkau tiada sanggup sabar dan menahan hati bersamaku.

Musa:
Engkau akan mendapat aku sabar, Insya Allah dan aku tidak akan menderhakai perintahmu.

Chidlir:
Kalau engkau mengikutku, janganlah engkau tanya sesuatu pun. Nanti akan aku terangkan kepadamu sebab-musababnya.

Kemudian keduanya berjalan sehingga keduanya menaiki sebuah perahu, lalu Chidlir mengorek lantai perahu itu.

Musa:
Mengapa engkau korek lantai perahu itu, nanti tenggelam penumpangnya. Sungguh engkau membuat sesuatu yang mungkar.

Chidlir:
Tidakkah ku katakan kepadamu bahawa engkau tidak sanggup sabar bersamaku?

Musa:
Ma’afkanlah aku dan janganlah engkau siksa aku kerana kelupaanku.

Setelah turun dari perahu itu, keduanya berjalan sehingga keduanya bertemu dengan seorang kanak-kanak lalu Chidlir membunuhnya.

Musa:
Mengapa engkau bunuh seorang kanak-kanak yang suci jiwanya tanpa ada kesalahannya? Sungguh engkau membuat suatu yang mungkar.

Chidlir:
Tidakkah ku katakan kepadamu bahawa engkau tidak sanggup sabar bersamaku?

Musa:
Kalau aku menanyakan juga sesuatu sesudah ini, maka janganlah engkau menemaniku. Sungguh cukuplah engkau memberi uzur kepadaku.

Kemudian keduanya berjalan sehingga sampai ke suatu negeri, lalu keduanya meminta makanan kepada penduduk negeri itu tetapi seorang pun tiada yang mahu menjamunya (memberi makan). Kemudian keduanya mendapat sebuah rumah yang hampir roboh dindingnya, lalu Chidlir membetulkannya.

Musa:
Kalau engkau mahu, baiklah engkau mengambil upahnya.

Chidlir:
Sekarang ini adalah penceraian antaraku dengan kamu. Nanti aku terangkan kepadamu sebab-sebab yang tidak sanggup engkau sabar terhadapnya.

Adapun perahu itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang berusaha di laut. Aku rosakkan perahunya supaya jangan dirampas oleh raja yang merampas tiap-tiap perahu yang baik. Kalau telah rosak, tiadalah dirampasnya. Dengan demikian terpeliharalah perahu mereka.

Adapun kanak-kanak itu adalah ibu-bapanya orang beriman. Kami takut kalau kanak-kanak itu besar nanti, ia akan memaksa ibu-bapanya menjadi derhaka dan kafir. Sebab itu kami kehendaki supaya Tuhan mengganti dengan anak yang lebih baik daripadanya.

Adapun rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim dalam kota. Di bawah rumah itu ada simpanan harta-benda peninggalan bapanya sedang bapanya itu orang yang soleh. Tuhan menghendaki kalau keduanya telah dewasa, mereka mengeluarkan harta-benda itu sebagai rahmat daripada Tuhanmu.

Semua yang ku perbuat ini bukanlah menurut kemahuanku tetapi dengan ilham daripada Allah s.w.t. Itulah sebab-musabab apa yang tak sanggup engkau sabar terhadapnya.

Wallahu’alam
Azhar Adam

Saturday, July 13, 2013

KISAH PENDUDUK GUA
Keterangan ayat 9 - 26 Surah Al_kahfi (Gua)

Pada zaman dahulukala ada tujuh (7) orang pemuda yang beriman teguh kepada Allah swt. Raja dalam negerinya bernama Daqyanus memaksa rakyatnya supaya menyembah berhala tetapi pemuda-pemuda itu tidak mahu mengikut perintahnya. Lalu raja itu mengancam mereka, kalau tak mahu menyembah berhala nescaya mereka akan dihukum bunuh. Mereka tetap berpegang teguh pada ugamanya dan tidak mahu menyembah berhala meskipun akan dihukum bunuh. Kemudian mereka bermesyuarat hendak keluar dari negeri itu dan pergi melarikan diri ke dalam suatu gua yang agak jauh letaknya dari negeri itu. Di tengah jalan mereka diikuti oleh seekor anjing lalu diusirnya tetapi anjing itu terus mengikuti mereka itu juga. Setelah sampai mereka ke gua itu lalu masuklah mereka ke dalamnya sedang anjing itu menjaga mereka di muka gua.

Di sana mereka mengabdi kepada Allah. Akhirnya mereka itu ditidurkan Allah swt tidur nyenyak sehingga tidak dapat mendengar apa-apa. Tinggal mereka dalam gua itu tidur nyenyak bertahun-tahun lamanya hingga sampai 309 tahun.

Raja Daqyanus yang ganas dahulu dan yang memaksa rakyatnya menyembah berhala, telah wafat dan berganti denga raja-raja yang kemudiannya. Akhirnya negeri itu diperintah oleh seorang raja yang beriman kepada Allah swt dan berlaku adil terhadap rakyatnya. Pada masa itu terjadi perselisihan faham dalam negeri itu tentang hal berbangkit (hidup kembali sesudah mati untuk menerima balasan yang maha adil daripada Allah). Di antara mereka itu ada yang percaya dan beriman kepadanya dan setengah mereka mengingkarinya. Lalu raja itu meminta kepada Allah swt supaya menerangkan jalan kebenaran bagi rakyatnya.

Tidak lama kemudian itu salah seorang penggembala kambing raja itu merobohkan tutupan lubang tempat pemuda-pemuda yang tidur nyenyak itu untuk tempat kandang kambingnya hingga terbangun mereka itu semuanya. Kata setengah mereka: … “berapa lama kita tidur di sini? Sahut seorang: … sehari atau setengah hari, kata yang lain: … Allah lebih mengetahui berapa lamanya kita tidur di sini”. Kemudian mereka utus salah sorang dari temannya pergi ke dalam kota negeri itu untuk membeli makanan dengan wang perak yang dibawanya dahulu ke dalam gua itu, seraya katanya: … “pergilah beli makanan yang enak dan bawalah kemari serta hendaklah berlaku lemah lembut supaya jangan orang mengetahui keadaan kita di sini. Jika mereka mengenal kita, tentu mereka merejam kita atau memaksa kita supaya kembali memeluk ugama mereka”.

Setelah pesuruh itu masuk ke dalam kota, lalu dibelinya makanan untuk dibawanya ke dalam gua dan dibayarkan dengan wang perak keluaran (buatan) raja Daqyanus dahulu itu. Tatkala penjual makanan melihat wang itu, lalu dituduhnya pesuruh itu mendapat wang simpanan raja dahulukala. Maka dibawanya mengadap raja.

Setalah raja melihat wang lama itu maka ditanyakannya dari mana engkau mendapat wang itu? Sahut pesuruh: … wang itu kami bawa dari kota ini ketika kami melarikan diri masuk ke dalam gua, lantaran kami akan dibunuh oleh raja Daqyanus kerana kami tidak mahu menyembah berhala. Tanya raja: … “di manakah gua kamu itu? Jawab pesuruh: … tempatnya sebelah sana”.

Kemudian pergi raja bersama pembesar-pembesarnya melihat gua itu dengan ditemani pesuruh itu. Tatkala dilihat raja dan pembesar-pembesarnya hal-ehwal tujuh (7) orang pemuda itu serta seekor anjingnya, lalu mereka taajub dan hairan kerana raja Daqyanus itu sebenarnya telah lebih 300 tahun lamanya meninggal dunia. Jadi bereti mereka itu telah lebih 300 tahun lamanya tidur dalam gua itu.

Disini mereka mendapat dalil dan keterangan bahawa Allah swt berkuasa menghidupkan orang mati untuk dibalas dan diadili segala perbuatan di atas dunia ini kerana bila Allah swt kuasa menidurkan pemuda-pemuda itu lebih 300 tahun lamanya, kemudian dibangunkannya kembali, tentu Allah swt kuasa pula menghidupkan orang mati pada hari kiamat.


Kemudian pemuda-pemuda itu mengucapkan selamat tinggal kepada raja lalu mereka kembali ke tempat tidurnya masing-masing. Ketika itu Allah swt mewafatkan mereka itu semuanya. Maka dengan hati yang sangat terharu, raja itu mengafani mereka denga kainnya sendiri dan dimasukkannya ke dalam tabut (peti) lalu dikuburkannya di sana. Kemudian dibuatnya masjid di pintu gua itu sebagai peringatan bagi pemuda-pemuda itu.


Wallahu’alam
Drpd; Azhar Adam


Friday, July 12, 2013

Fadilat Membaca Al-Quran

Banyak hadis Nabi sa.w. yang menerangkan tentang bagaimana besar fadilat (kelebihan) bagi orang yang membaca kitab suci Al-Quran. Ramai dari kalangan kita barang kali tidak tahu atau tidak berjumpa dengan hadis-hadis yang menjelaskan atau pun menceritakan tentang besar ganjarannya bagi orang membacanya.

Ada sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Ali Abi Thalib iaitu menantu kepada Nabi Besar kita Muhammad s.a.w.

Ali Abi Thalib r.a. berkata bahawa Baginda Rasulullah ada bersabda yang ertinya “Barang siapa yang membaca Al-Quran dan memperhatikan isinya, kemudian dia menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, maka Allah akan memasukkan dia ke dalam Syurga dan Allah s.w.t akan memberikan pertolongan kepada dia sampai kepada 10 keluarga rumahnya yang (10 keluarga itu) sepatutnya masuk neraka”

Sabda Nabi sa.w. (selanjutnya) “Barangsiapa yang membaca Al-Quran dan dia dalam keadaan melakukan solat, maka tiap-tiap huruf baginya pahala 100 kebajikan. Barangsiapa yang membaca di luar solat dalam keadaan suci, maka tiap-tiap huruf pahalanya 25 kebaikan dan barangsiapa yang membaca Al-Quran tanpa wuduk, maka baginya 10 kebaikan.”

Hadis ini adalah melalui Ali bin Abi Thalib r.a.

Demikianlah besarnya ganjaran balasan yang Allah s.w.t berikan dengan membaca Al-Quran. Dengan membaca “Bismillah” dalam solat ialah sebanyak 550 kebaikan dan belum lagi membaca “Fatihah”nya.

Biasakanlah membaca Al-Quran pada setiap hari. Sekiranya anda membaca satu hari sehelai lembaran Al-Quran, dalam sebulan anda telah membaca lebih kurang 30 halaman Al-Quran dan begitulah seterusnya.

Ada baik juga anda mengikuti saranan bahawa iringilah bacaan Al-Quran itu dengan membaca terjemahannya apatah lagi apabila dapat membaca huraian tafsirnya. Anda akan menjadi seorang ilmuan kelak, InsyaAllah…