KISAH NABI MUSA DENGAN CHIDLIR
Menurut riwayat bahawa tatkala Nabi Musa telah menjadi khalifah di mukabumi sesudah mendapat kemenangan ke atas Mesir, maka Allah s.w.t. menyuruhnya mengingatkan kepada kaumnya akan nikmat Allah s.w.t. itu. Lalu Nabi Musa berdiri berpidato kepada mereka serata katanya: “Allah s.w.t. telah menganugerahi kita nikmat yang Maha Besar, sebab itu marilah kita berterima kasih kepadaNya. Allah s.w.t. telah memilih nabi kamu (Musa) dan telah bercakap-cakap Allah dengan dia”. Sahut mereka itu: “Kami telah ketahui tentang ini. Sekarang kami bertanya, siapakah orang se’alim-alim manusia?” Jawab Nabi Musa: “Saya”. Lalu Allah s.w.t. menempelak (menegurnya) dia kerana dia tidak mengatakan: “Allahua’lam” (Allah Lebih Tahu). Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepada Musa: “Ada seorang hamba yang lebih ‘alim daripada engkau iaitu Chidlir, engkau boleh berjumpa dengan dia dipertemuan dua laut iaitu laut Rom dan Parsi, di tepi pantainya dekat batu besar”. Berkata Musa: “Ya Rabbi, bagaimanakah jalannya supaya dapat saya berjumpa dengan dia?”
Firman Allah: “Hendaklah
engkau ambil seekor ikan dan masukkanlah dalam gantang. Bila ikan itu telah
hilang maka di sanalah tempat Chidlir itu”. Kemudian pergilah Nabi Musa bersama
pemudanya menuju tempat itu. Setelah sampai di sana, Nabi Musa tertidur, lalu
ikan itu bergerak hingga jatuh masuk laut. Kemudian keduanya meneruskan
perjalanannya. Setelah esok harinya, waktu makan zohor, Nabi Musa memeriksa
ikan itu tetapi tiada bersua lagi. Lalu ditanyakannya kepada pemudanya.
Sahutnya: “Ikan itu telah jatuh masuk laut”. Mendengar demikian, keduanya
kembali menuju batu besar itu. Di sana Nabi Musa bertemu dengan Chidlir iaitu
seorang hamba Allah s.w.t. yang mendapat rahmat dan ilmu dari sisiNya.
Berkata Nabi Musa kepada
Chidlir: “Bolehkah aku mengikutmu supaya engkau mengajarkan ilmu petunjuk
kepadaku?”
Chidlir:
Engkau tiada sanggup sabar
dan menahan hati bersamaku.
Musa:
Engkau akan mendapat aku
sabar, Insya Allah dan aku tidak akan menderhakai perintahmu.
Chidlir:
Kalau engkau mengikutku,
janganlah engkau tanya sesuatu pun. Nanti akan aku terangkan kepadamu
sebab-musababnya.
Kemudian keduanya berjalan
sehingga keduanya menaiki sebuah perahu, lalu Chidlir mengorek lantai perahu
itu.
Musa:
Mengapa engkau korek lantai
perahu itu, nanti tenggelam penumpangnya. Sungguh engkau membuat sesuatu yang
mungkar.
Chidlir:
Tidakkah ku katakan kepadamu
bahawa engkau tidak sanggup sabar bersamaku?
Musa:
Ma’afkanlah aku dan janganlah
engkau siksa aku kerana kelupaanku.
Setelah turun dari perahu
itu, keduanya berjalan sehingga keduanya bertemu dengan seorang kanak-kanak
lalu Chidlir membunuhnya.
Musa:
Mengapa engkau bunuh seorang
kanak-kanak yang suci jiwanya tanpa ada kesalahannya? Sungguh engkau membuat
suatu yang mungkar.
Chidlir:
Tidakkah ku katakan kepadamu
bahawa engkau tidak sanggup sabar bersamaku?
Musa:
Kalau aku menanyakan juga
sesuatu sesudah ini, maka janganlah engkau menemaniku. Sungguh cukuplah engkau memberi
uzur kepadaku.
Kemudian keduanya berjalan sehingga
sampai ke suatu negeri, lalu keduanya meminta makanan kepada penduduk negeri
itu tetapi seorang pun tiada yang mahu menjamunya (memberi makan). Kemudian
keduanya mendapat sebuah rumah yang hampir roboh dindingnya, lalu Chidlir
membetulkannya.
Musa:
Kalau engkau mahu, baiklah
engkau mengambil upahnya.
Chidlir:
Sekarang ini adalah
penceraian antaraku dengan kamu. Nanti aku terangkan kepadamu sebab-sebab yang
tidak sanggup engkau sabar terhadapnya.
Adapun perahu itu adalah
kepunyaan orang-orang miskin yang berusaha di laut. Aku rosakkan perahunya
supaya jangan dirampas oleh raja yang merampas tiap-tiap perahu yang baik.
Kalau telah rosak, tiadalah dirampasnya. Dengan demikian terpeliharalah perahu
mereka.
Adapun kanak-kanak itu adalah
ibu-bapanya orang beriman. Kami takut kalau kanak-kanak itu besar nanti, ia
akan memaksa ibu-bapanya menjadi derhaka dan kafir. Sebab itu kami kehendaki
supaya Tuhan mengganti dengan anak yang lebih baik daripadanya.
Adapun rumah itu adalah
kepunyaan dua orang anak yatim dalam kota. Di bawah rumah itu ada simpanan
harta-benda peninggalan bapanya sedang bapanya itu orang yang soleh. Tuhan
menghendaki kalau keduanya telah dewasa, mereka mengeluarkan harta-benda itu
sebagai rahmat daripada Tuhanmu.
Semua yang ku perbuat ini
bukanlah menurut kemahuanku tetapi dengan ilham daripada Allah s.w.t. Itulah
sebab-musabab apa yang tak sanggup engkau sabar terhadapnya.
Wallahu’alam
Azhar Adam