Selamat Datang Ke Laman Web Surau Al-Muhajirin Apartment Julia, Bandar Baru Selayang Fasa 2B

Thursday, April 28, 2011

FITNAH : Kemuncak Sifat Tamak Haloba Qorun

Setelah Jibrail dan Nabi Allah Musa membunuh lembu emas itu lalu dibakar dan debunya dibuang ke laut Nil, maka Nabi Musa pun berkata kepada segala kaumnya Bani Israel yang beriman “Surat oleh kamu kitab Taurat ini maka baca dan hayati oleh kamu pada tiap-tiap suatu ayatNya itu”. Surat Taurat itu dakwatnya daripada emas. Banyaklah mereka itu yang hafaz kitab Taurat. Maka sembah Nabi Allah Musa, Ya Tuhanku bahawa hambaMu tiada menaruh emas barang sesuatu dinar pun akan menyurat Taurat itu. Maka dengan firman Allah Taa’la kepada Jibrail maka Jibrail pun datang mengajar Nabi Allah Musa membuat emas dengan tiga jenis rumput lalu dibakar dan debunya apabila digosok pada sebarang benda akan menjadi emas. Maka ditanya Nabi Musa nama rumput itu dan rupanya lalu disuratnya tiga jenis rumput tersebut pada tiga keping kertas. Satu surat itu diberi kepada Yusak anak Nun, satu surat lagi kepada Qorun dan satu diberikannya kepada Qalut.

Maka kata Nabi Musa kepada tiga orang itu, “hendaklah kamu carikan rumput seperti di dalam surat itu dan bawakan segera kepada aku”. Lalu pergilah mereka mencari rumput tersebut di luar negeri Mesir. Maka Qorun pun berkata kepada Yusak dan Qalut, “mari kita lihat kesemua surat ini”. Maka oleh Yusak dan Qalut ditunjukkan surat yang di bawa itu dan Qorun pun menunjukkan surat yang ada padanya. Qorun pun terlalu sukacita maka ketiganya pun pergilah mencari rumput itu. Setelah diperolehinya maka dibawa rumput itu kepada Nabi Musa maka diperbuatnyalah emas itu dihadapan mereka itu. Setelah jadi maka disurat semula Taurat dengan menggunakan emas tersebut. Maka Qorun diikutinya pekerjaan berbuat emas itu. Manakala Nabi Allah Musa berserah kepada Allah Taa’la dengan berbuat ibadat juga kepadaNya.

Adapun Qorun itu asalnya orang yang soleh dengan ibadatnya dan beriman kepada kitab Taurat lagi hafiz serta sangat warak kepada Allah s.w.t. Setelah Qorun melihat Nabi Musa membuat emas itu maka datanglah haloba dan celakanya. Sekembali ke rumahnya maka dihimpunkannya segala macam besi, batu, kayu, tanah dan sampah. Maka diperbuatnya sepertimana yang dipelajari dari Nabi Musa. Dipercikkan pada segala benda yang dihimpunkannya itu lalu bertukar menjadi emas. Beberapa lama Qorun membuat emas itu maka Qorun pun terlalu kaya dengan perbendaharaannya penuh dengan emas. Seorangpun tiada tahu kekayaannya melainkan Allah Taa’la jua Yang Amat Mengetahui banyaknya emas Qorun daripada sangat haloba dan celakanya. Semakin banyak hartanya semakin bertambah-tambah kikir dan tamaknya sehingga zakat harta pun tiada diberikannya walaupun telah diketahui segala hukum di dalam kitab Taurat itu tetapi diabaikannya.

Apabila harta Qorun semakin banyak maka segala kaum yang kasih dan rapat dengannya turut sama menjadi kaya. Seorang pun tiadalah sebanding Qorun. Setelah beberapa lama daripada sangat kayanya maka Qorun itu pun menjadi derhakalah ke hadrat Allah Taa’la. Segala perbendaharaannya semua dengan anak kunci. Kata Abdullah Ibnu Abbas r.a. bahawa seramai tujuh ratus lelaki yang amat gagah untuk membawa anak kuncinya itu. Kemana Qorun pergi maka lelaki yang tujuh ratus itu berjalan dihadapan Qorun. Setiap satu anak kuncinya itu seberat seemas dirham. Maka jaranglah Qorun pergi menemui Nabi Allah Musa dan telah diketahuilah oleh Nabi Musa perbuatan Qorun itu. Maka kata Nabi Allah Musa, “Hai Qorun! janganlah engkau sangat sukacita dan riyak sesama manusia ini bahawa Allah Taa’la tiada kasih bagi orang yang sukacita, takbur dan menilik dirinya dengan kekayaan. Hai Qorun! berbuat baiklah engkau kepada segala makhluk supaya dianugerahkan Allah Taa’la bagimu kebaikan di dunia dan akhirat. Jika tidak, segala kekayaanmu di dunia ini menjadi sia-sia sahaja jika tiada engkau menurut kataku ini dan merugilah engkau di dunia dan akhirat. Segala hartamu itu pun akan tinggal juga kesudahannya. Tiada terbawa olehmu segala harta pada hari yang huru-hara itu. Adapun dijadikan Allah Taa’la dunia ini akan tempat berbuat bekal akhirat juga gunanya kerana dunia ini hilang jua kesudahannya. Hanya negeri akhirat itulah yang kekal selama-lamanya.

Maka Qorun pun berdiam dirinya seketika maka menyahut Qorun, Ya Nabi Allah! bahawa akan hartaku ini ketahui olehmu bahawa dengan pengetahuanku juga bukan kurnia Allah Taa’la akan daku. Maka hairanlah Nabi Musa mendengar kata Qorun malaun itu yang disangkanya bukan dengan kurnia Allah swt kepadanya. Maka datang suara didengar Nabi Allah Musa a.s. demikian bunyinya. “Ya Musa! diketahui oleh Tuhan Yang Maha Tinggi segala kaum yang salah itu lagi akan dibinasakan Allah Taa’la. Beberapa kaum yang terdahulu yang amat gagah dan beberapa kaum yang banyak hartanya yang terlebih daripada kebesaran Qorun dibinasakan Tuhanmu dan segala kaum yang menurut firmanKu dan sabda titahKu pada hari Qiamat beroleh beberapa anugerahKu darjat dan pangkat ketinggian balas pahalanya dengan kebajikan dan segala yang tiada menurut firmanKu seperti Namrud dan Fir’aun dibalas dengan seksa yang amat pedih dan seperti Qorun ini haraplah ia dengan kebesarannya.

Tatkala Qorun kahwin, tiada seorang pun fakir-miskin dijemput melainkan kesemuanya orang kaya-raya dan hartawan daripada kaum Bani Israel. Segala hamba Qorun kiri dan kanan kesemuanya memakai mahkota bertatahkan permata yang indah-indah. Apabila dilihat kaum Bani Israel itu maka dikatanya Qorun inilah yang terlebih beroleh pangkat kebesaran di dalam dunia ini. Jika sekiranya Allah Taala kurniakan kami seperti Qorun ini nescaya tiadalah menjadi sukar seperti ini. Bahawa segala perkataan itu disebutkan Allah Taa’la cerita ini kepada Nabi kita Muhammad. Maka kata Nabi Musa, hai segala fakir-miskin! karam sekali bagimu jika kamu sekelian seperti Qorun. Nescaya tiada kebajikan kamu sekelian perolehi kerana dunia ini tiada akan kekal. Sabarlah kamu kerana kelemahanmu di dunia ini tetapi akan mendapat keesaan di dalam akhirat kelak.

Maka datang firman Allah Taa’la, Hai Musa! katakan pada Qorun suruh memberi zakat hartanya kerana Allah Taa’la dan mengikut titah Tuhanmu dan berikan kepada golongan fakir-miskin. Maka Nabi Allah Musa pun pergilah pada Qorun menyampaikan firman Allah Taa’la itu. Maka Qorun pun berfikir berdiam dirinya. Di dalam hati Qorun kerana hartaku beribu-ribu perbendaharaannya, jikalau dalam empat puluh perbendaharaannya diberikan kepada segala fakir miskin nescaya beratus perbendaharaanku keluar. Banyaklah hartaku keluar. Kata Qorun, Ya Rasullullah nantilah esok hari. Maka Nabi Musa pun kembalilah ke rumahnya. Maka dinanti oleh Nabi Allah sepuluh hari tetapi Qorun tiada juga mahu memberi zakat hartanya.

Maka pergi pula Nabi Allah sekali lagi kepada Qorun. Maka kata Nabi Allah Musa, Hai Qorun! mengapa engkau tidak mahu memberi zakat? Maka kata Qorun, Ya Nabi Allah! nantilah dahulu hamba masih lagi berkira-kira. Maka kata Nabi Allah Musa a.s., emas empat puluh perbendaharaan  itulah berikan segala fakir dan miskin zakat hartamu kerana zakat itu dilantangkan Allah Taa’la akan kehadapan segala fakir dan miskin dan hamba abdi di dalam dunia ini supaya bertambah-tambah berkat hartamu itu dianugerahkan Allah Taa’la dan umur pun dilanjutkan Allah Taa’la. Maka kata Qorun, Ya Rasullullah! kerana hartaku ini terlalu banyak, jika empat puluh perbendaharaan emas hamba diambil, berapa banyaknya harta hamba sudah keluar? Nantilah hamba tangguh tiga hari lagi. Maka Nabi Musa pun kembalilah ke rumahnya maka di nanti Nabi Allah Musa sebulan lamanya tetapi Qorun tiada juga mahu memberi zakat hartanya.

Maka pergilah Nabi Allah kepada Qorun maka kata Nabi Allah Musa, Hai Qorun! mengapakah maka engkau tiada mahu memberi zakat hartamu? Maka kata Qorun, Ya Rasullullah! hamba bicarakan juga tetapi jika keluar daripada empat puluh perbendaharaan emas nescaya beratus-ratuslah perbendaharaan hamba keluar. Jikalau demikian tiadalah miskin lagi nescaya kayalah segala fakir miskin dan tiadalah hina lagi. Maka kata Nabi Allah, Hai Qorun itulah hak Allah. Jikalau engkau beri zakat itu nescaya bertambah-tambah kemuliaanmu dianugerahkan Allah Taa’la kerana segala fakir miskin engkau kayakan itu dan namamu pun mashyurlah pada segala alam. Bahawa akan kemuliaan akhirat pun engkau perolehi. Maka sahut Qorun, Ya Rasullullah jikalau demikian nantilah dahulu maka hamba bicarakan. Maka Nabi Allah Musa pun kembalilah kerumahnya. Maka di nanti-nanti Nabi Allah empat puluh hari Qorun tiada juga mahu memberi zakat hartanya.

Maka pergi pula Nabi Allah Musa mendapatkan Qorun sabdanya Hai Qorun! mengapakah engkau tiada memberi zakat hartamu ini. Maka sahut Qorun, Ya Nabi Allah! apa dayaku berapa pun ku bicarakan hendak memberi zakat tiada juga datang hatiku mengeluarkan emasku ini kerana terlalu banyak keluarnya. Maka Nabi Allah Musa pun berseru-seru ke hadrat Allah Taa’la bahawa Qorun ini tiadalah ia mahu memberi zakat. Maka firman Allah Taa’la, Ya Musa! ajarkan olehmu bagi barang siapa memberi zakat hartanya, terpeliharalah ia di dalam dunia dan akhirat. Pahala pun diperolehinya. Ya Musa! katakan kepada Qorun suruh beri zakatnya itu supaya jangan kafir di akhirat kepada Tuhannya. Ya Musa! katakan pada Qorun suruh beri zakat hartanya sebanyak seribu dinar emas. Satu dinar emas dibahagikan kepada setiap fakir miskin. Maka firman Tuhan Alam itu semuanya dikatakan Nabi Allah Musa kepada Qorun, katanya hai Qorun! jika tiada mahu engkau beri zakat empat puluh perbendaharaan itu, engkau berilah seribu dinar emas itu keluarkan zakatnya dengan beberapa kata yang manis-manis dan lemah-lembut Nabi Allah Musa mengajar Qorun itu. Maka Qorun pun berdiam dirinya maka Nabi Allah Musa pun kembalilah ke rumahnya.

Maka Qorun berfikir di dalam hatinya untuk membuat suatu bencana supaya Musa beroleh malu dan berhenti menyuruhkannya memberi zakat. Diupahnya seorang perempuan qurdis yang cerdik berkata-kata dengan seribu dinar supaya berkata bahawa perempuan itu bunting dengan Nabi Musa. Setelah sudah Qorun mengajar perempuan itu maka diberi seribu dinar maka Qorun dan perempuan itu pun pergilah mendapatkan Nabi Allah Musa. Pada ketika itu Nabi Allah Musa duduk di mihrab masjid dihadap oleh segala kaum Bani Israel yang banyak. Maka dilihat Nabi Musa bahawa Qorun datang. Pada fikiran Nabi Allah Musa bahawa kedatangan Qorun itu hendak mengeluarkan zakat hartanya. Maka Qorun pun datang lalu duduk serta kaum yang banyak itu. Maka kata Qorun, Ya Nabi Allah! tuan hamba katakan kepada kami sekelian. Sekarang ini datang seorang perempuan kepada aku mengatakan dirinya zina dengan tuan hamba. Pada orangramai berbagai-bagai tuan hamba ajarkan tetapi diri tuan hamba begini pula. Maka dipanggil Qorun akan perempuan itu kehadapan Nabi Musa. Kata Nabi Allah Musa, Hai perempuan bedebah! berkata benarlah engkau siapa mengajar engkau berkata demikian itu. Setelah dilihat perempuan itu maka Nabi Allah sangat marah. Maka perempuan itu pun sangat takut gementar tubuhnya dan segala anggotanya ketakutan. Maka kata perempuan itu Ya Nabi Allah batu kepala hamba! adapun Ya Nabi Allah hambamu diupah Qorun seribu dinar emas disuruhnya hamba mengatakan demikian itu. Maka Nabi Allah pun sangat marah akan Qorun maka kata Nabi Allah, Hai Qorun mengapa engkau berbuat bencana akan daku. Sudahlah engkau melanggar firman Tuhan Seru Alam maka aku pula engkau datangkan fitnah demikian ini.

Maka Nabi Allah Musa pun minta doa dengan sangat ikhlas hatinya ke hadrat Allah s.w.t. sembahnya Ya Tuhanku, binasakanlah Qorun celaka ini. Maka Jibrail pun datang berkata Ya Kalamullah! bahawa Tuhan Alam menyerahkan buminya pada tuan hamba mana sekehendak tuan hambalah suruh ia. Maka Nabi Allah Musa pun menghempaskan tongkatnya ke bumi maka bumi pun berteriak lalu merenggangkan dirinya maka kata Nabi Allah Musa, Hai bumi! tangkap olehmu Qorun ini dengan segala orang yang menurut katanya, segala anak taulannya, istana dan segala perbendaharaannya tenggelamkan ke dalam perutmu hai bumi. Maka Qorun pun ditangkap bumi hingga segala istananya, segala orang yang menerima anugerahnya, segala perbendaharaannya dan segala orang yang kaya-kaya semuanya masuk ke dalam bumi. Teguhnya tiada dapat bergerak lagi. Maka Qorun pun berseru-seru katanya, Ya Nabi Allah junjunganku! engkau ampunilah dosaku, jangan suruh bumi tangkap diriku. Maka kata Nabi Allah Musa, Hai bumi! tangkap olehmu si celaka ini. Maka Qorun dan segala keluarganya semuanya ditangkap bumi hingga lututnya. Maka Qorun pun berseru-seru pula katanya Ya Nabi Allah junjunganku, mahkotaku dan batu kepalaku, ampunilahku. Kata Nabi Allah, tangkap olehmu Qorun itu. Maka Qorun dan segala tempatnya, istananya dan perbendaharaannya semuanya ditangkap bumi hingga pinggangnya maka Qorun pun berseru-seru katanya Ya Nabi Allah! batu kepalaku dan mahkotaku dan junjunganku, ampunilah diriku ini. Kasihanilah daku. Maka kata Nabi Allah Musa pada bumi, hai bumi! telan olehmu Qorun itu. Maka Qorun dengan segala yang sertanya semuanya ditelan bumi hingga lehernya. Maka Qorun dan segala orang yang sertanya itupun berseru-seru minta ampun kepada Nabi Allah. Gegak gempita bunyinya memohonkan ampun kepada Nabi Allah Musa. Maka kata Nabi Allah Musa pada bumi, telan olehmu maka Qorun dan segala orang kaya-kaya yang sertanya, segala hambanya, perbendaharaannya, istananya dan semuanya habis ditelan bumi. Maka lenyaplah ia tiada berketahuan ke dalam bumi.