Selamat Datang Ke Laman Web Surau Al-Muhajirin Apartment Julia, Bandar Baru Selayang Fasa 2B

Saturday, July 13, 2013

KISAH PENDUDUK GUA
Keterangan ayat 9 - 26 Surah Al_kahfi (Gua)

Pada zaman dahulukala ada tujuh (7) orang pemuda yang beriman teguh kepada Allah swt. Raja dalam negerinya bernama Daqyanus memaksa rakyatnya supaya menyembah berhala tetapi pemuda-pemuda itu tidak mahu mengikut perintahnya. Lalu raja itu mengancam mereka, kalau tak mahu menyembah berhala nescaya mereka akan dihukum bunuh. Mereka tetap berpegang teguh pada ugamanya dan tidak mahu menyembah berhala meskipun akan dihukum bunuh. Kemudian mereka bermesyuarat hendak keluar dari negeri itu dan pergi melarikan diri ke dalam suatu gua yang agak jauh letaknya dari negeri itu. Di tengah jalan mereka diikuti oleh seekor anjing lalu diusirnya tetapi anjing itu terus mengikuti mereka itu juga. Setelah sampai mereka ke gua itu lalu masuklah mereka ke dalamnya sedang anjing itu menjaga mereka di muka gua.

Di sana mereka mengabdi kepada Allah. Akhirnya mereka itu ditidurkan Allah swt tidur nyenyak sehingga tidak dapat mendengar apa-apa. Tinggal mereka dalam gua itu tidur nyenyak bertahun-tahun lamanya hingga sampai 309 tahun.

Raja Daqyanus yang ganas dahulu dan yang memaksa rakyatnya menyembah berhala, telah wafat dan berganti denga raja-raja yang kemudiannya. Akhirnya negeri itu diperintah oleh seorang raja yang beriman kepada Allah swt dan berlaku adil terhadap rakyatnya. Pada masa itu terjadi perselisihan faham dalam negeri itu tentang hal berbangkit (hidup kembali sesudah mati untuk menerima balasan yang maha adil daripada Allah). Di antara mereka itu ada yang percaya dan beriman kepadanya dan setengah mereka mengingkarinya. Lalu raja itu meminta kepada Allah swt supaya menerangkan jalan kebenaran bagi rakyatnya.

Tidak lama kemudian itu salah seorang penggembala kambing raja itu merobohkan tutupan lubang tempat pemuda-pemuda yang tidur nyenyak itu untuk tempat kandang kambingnya hingga terbangun mereka itu semuanya. Kata setengah mereka: … “berapa lama kita tidur di sini? Sahut seorang: … sehari atau setengah hari, kata yang lain: … Allah lebih mengetahui berapa lamanya kita tidur di sini”. Kemudian mereka utus salah sorang dari temannya pergi ke dalam kota negeri itu untuk membeli makanan dengan wang perak yang dibawanya dahulu ke dalam gua itu, seraya katanya: … “pergilah beli makanan yang enak dan bawalah kemari serta hendaklah berlaku lemah lembut supaya jangan orang mengetahui keadaan kita di sini. Jika mereka mengenal kita, tentu mereka merejam kita atau memaksa kita supaya kembali memeluk ugama mereka”.

Setelah pesuruh itu masuk ke dalam kota, lalu dibelinya makanan untuk dibawanya ke dalam gua dan dibayarkan dengan wang perak keluaran (buatan) raja Daqyanus dahulu itu. Tatkala penjual makanan melihat wang itu, lalu dituduhnya pesuruh itu mendapat wang simpanan raja dahulukala. Maka dibawanya mengadap raja.

Setalah raja melihat wang lama itu maka ditanyakannya dari mana engkau mendapat wang itu? Sahut pesuruh: … wang itu kami bawa dari kota ini ketika kami melarikan diri masuk ke dalam gua, lantaran kami akan dibunuh oleh raja Daqyanus kerana kami tidak mahu menyembah berhala. Tanya raja: … “di manakah gua kamu itu? Jawab pesuruh: … tempatnya sebelah sana”.

Kemudian pergi raja bersama pembesar-pembesarnya melihat gua itu dengan ditemani pesuruh itu. Tatkala dilihat raja dan pembesar-pembesarnya hal-ehwal tujuh (7) orang pemuda itu serta seekor anjingnya, lalu mereka taajub dan hairan kerana raja Daqyanus itu sebenarnya telah lebih 300 tahun lamanya meninggal dunia. Jadi bereti mereka itu telah lebih 300 tahun lamanya tidur dalam gua itu.

Disini mereka mendapat dalil dan keterangan bahawa Allah swt berkuasa menghidupkan orang mati untuk dibalas dan diadili segala perbuatan di atas dunia ini kerana bila Allah swt kuasa menidurkan pemuda-pemuda itu lebih 300 tahun lamanya, kemudian dibangunkannya kembali, tentu Allah swt kuasa pula menghidupkan orang mati pada hari kiamat.


Kemudian pemuda-pemuda itu mengucapkan selamat tinggal kepada raja lalu mereka kembali ke tempat tidurnya masing-masing. Ketika itu Allah swt mewafatkan mereka itu semuanya. Maka dengan hati yang sangat terharu, raja itu mengafani mereka denga kainnya sendiri dan dimasukkannya ke dalam tabut (peti) lalu dikuburkannya di sana. Kemudian dibuatnya masjid di pintu gua itu sebagai peringatan bagi pemuda-pemuda itu.


Wallahu’alam
Drpd; Azhar Adam


No comments:

Post a Comment