Selamat Datang Ke Laman Web Surau Al-Muhajirin Apartment Julia, Bandar Baru Selayang Fasa 2B

Saturday, July 20, 2013

KISAH NABI MUSA DENGAN CHIDLIR


Menurut riwayat bahawa tatkala Nabi Musa telah menjadi khalifah di mukabumi sesudah mendapat kemenangan ke atas Mesir, maka Allah s.w.t. menyuruhnya mengingatkan kepada kaumnya akan nikmat Allah s.w.t. itu. Lalu Nabi Musa berdiri berpidato kepada mereka serata katanya: “Allah s.w.t. telah menganugerahi kita nikmat yang Maha Besar, sebab itu marilah kita berterima kasih kepadaNya. Allah s.w.t. telah memilih nabi kamu (Musa) dan telah bercakap-cakap Allah dengan dia”. Sahut mereka itu: “Kami telah ketahui tentang ini. Sekarang kami bertanya, siapakah orang se’alim-alim manusia?” Jawab Nabi Musa: “Saya”. Lalu Allah s.w.t. menempelak (menegurnya) dia kerana dia tidak mengatakan: “Allahua’lam” (Allah Lebih Tahu). Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepada Musa: “Ada seorang hamba yang lebih ‘alim daripada engkau iaitu Chidlir, engkau boleh berjumpa dengan dia dipertemuan dua laut iaitu laut Rom dan Parsi, di tepi pantainya dekat batu besar”. Berkata Musa: “Ya Rabbi, bagaimanakah jalannya supaya dapat saya berjumpa dengan dia?”


Firman Allah: “Hendaklah engkau ambil seekor ikan dan masukkanlah dalam gantang. Bila ikan itu telah hilang maka di sanalah tempat Chidlir itu”. Kemudian pergilah Nabi Musa bersama pemudanya menuju tempat itu. Setelah sampai di sana, Nabi Musa tertidur, lalu ikan itu bergerak hingga jatuh masuk laut. Kemudian keduanya meneruskan perjalanannya. Setelah esok harinya, waktu makan zohor, Nabi Musa memeriksa ikan itu tetapi tiada bersua lagi. Lalu ditanyakannya kepada pemudanya. Sahutnya: “Ikan itu telah jatuh masuk laut”. Mendengar demikian, keduanya kembali menuju batu besar itu. Di sana Nabi Musa bertemu dengan Chidlir iaitu seorang hamba Allah s.w.t. yang mendapat rahmat dan ilmu dari sisiNya.

Berkata Nabi Musa kepada Chidlir: “Bolehkah aku mengikutmu supaya engkau mengajarkan ilmu petunjuk kepadaku?”

Chidlir:
Engkau tiada sanggup sabar dan menahan hati bersamaku.

Musa:
Engkau akan mendapat aku sabar, Insya Allah dan aku tidak akan menderhakai perintahmu.

Chidlir:
Kalau engkau mengikutku, janganlah engkau tanya sesuatu pun. Nanti akan aku terangkan kepadamu sebab-musababnya.

Kemudian keduanya berjalan sehingga keduanya menaiki sebuah perahu, lalu Chidlir mengorek lantai perahu itu.

Musa:
Mengapa engkau korek lantai perahu itu, nanti tenggelam penumpangnya. Sungguh engkau membuat sesuatu yang mungkar.

Chidlir:
Tidakkah ku katakan kepadamu bahawa engkau tidak sanggup sabar bersamaku?

Musa:
Ma’afkanlah aku dan janganlah engkau siksa aku kerana kelupaanku.

Setelah turun dari perahu itu, keduanya berjalan sehingga keduanya bertemu dengan seorang kanak-kanak lalu Chidlir membunuhnya.

Musa:
Mengapa engkau bunuh seorang kanak-kanak yang suci jiwanya tanpa ada kesalahannya? Sungguh engkau membuat suatu yang mungkar.

Chidlir:
Tidakkah ku katakan kepadamu bahawa engkau tidak sanggup sabar bersamaku?

Musa:
Kalau aku menanyakan juga sesuatu sesudah ini, maka janganlah engkau menemaniku. Sungguh cukuplah engkau memberi uzur kepadaku.

Kemudian keduanya berjalan sehingga sampai ke suatu negeri, lalu keduanya meminta makanan kepada penduduk negeri itu tetapi seorang pun tiada yang mahu menjamunya (memberi makan). Kemudian keduanya mendapat sebuah rumah yang hampir roboh dindingnya, lalu Chidlir membetulkannya.

Musa:
Kalau engkau mahu, baiklah engkau mengambil upahnya.

Chidlir:
Sekarang ini adalah penceraian antaraku dengan kamu. Nanti aku terangkan kepadamu sebab-sebab yang tidak sanggup engkau sabar terhadapnya.

Adapun perahu itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang berusaha di laut. Aku rosakkan perahunya supaya jangan dirampas oleh raja yang merampas tiap-tiap perahu yang baik. Kalau telah rosak, tiadalah dirampasnya. Dengan demikian terpeliharalah perahu mereka.

Adapun kanak-kanak itu adalah ibu-bapanya orang beriman. Kami takut kalau kanak-kanak itu besar nanti, ia akan memaksa ibu-bapanya menjadi derhaka dan kafir. Sebab itu kami kehendaki supaya Tuhan mengganti dengan anak yang lebih baik daripadanya.

Adapun rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim dalam kota. Di bawah rumah itu ada simpanan harta-benda peninggalan bapanya sedang bapanya itu orang yang soleh. Tuhan menghendaki kalau keduanya telah dewasa, mereka mengeluarkan harta-benda itu sebagai rahmat daripada Tuhanmu.

Semua yang ku perbuat ini bukanlah menurut kemahuanku tetapi dengan ilham daripada Allah s.w.t. Itulah sebab-musabab apa yang tak sanggup engkau sabar terhadapnya.

Wallahu’alam
Azhar Adam

No comments:

Post a Comment